Ramai daripada rakan-rakan suka bertanya tentang kenapa perlu obses pada debat.
Apa pentingnya debat dan untuk apa berdebat. Maka bukanlah sesuatu yang sukar untuk mencari jawapannya tetapi soalnya adakah
jawapan itu jawapan sebenar yang perlu dijawab.
Debat bukan merupakan medan untuk bertikam lidah yang akhirnya akan menjurus kepada pertelingkahan tanpa penghabisan.
Rasulullah juga melarang umatnya daripada berdebat tanpa batas sehinggakan Baginda bersabda yang bermaksud berdebat boleh
mematikan hati seseorang. Bukan bermakna baginda melarang umatnya berdebat, tetapi berdebat perlulah dengan ilmu dan pada
orang yang berhak, iaitu mereka yang tahu tentang ilmu tersebut dan bukan pada mereka yang jahil.
Debat merupakan satu keperluan dalam agama. Dalam menetapkan hukum, dalam mengeluarkan fatwa dan membincangkan kaedah-kaedah
berkaitan agama, ulama sememangnya akan berdebat. Untuk menguatkan hujah, maka dalil-dalil yang merupakan ayat-ayat Al-Quran
dan juga sabda baginda Muhammad S.A.W. akan digunakan sebagai bukti. Dengan itu, maka lahirlah hukum-hakam yang ada hari ini.
Yang wajib itu tetap wajib seperti solat, zakat dan haji tetapi isu-isu berkaitan merokok, botox dan segala permasalahan kehidupan
harian dewasa ini yang tidak tercatit dalam al-Quran secara terus, maka perlu dibincang dan diperdebat untuk meletakkan nas
yang kukuh.
Sebagai pendebat yang baik, banyak perkara yang perlu dipatuhi; bukan pantang larang ilmu syirik tetapi peraturan-peraturan
dan juga kaedah-kaedah yang perlu diikuti untuk menjadi seorang pendebat yang bagus dan mempunyai kualiti unggul. Artikel
ini bukan bermaksud untuk melihat penulis sebagai seorang pendebat yang unggul, tetapi melalui pengalaman dan pengetahuan
yang tidak seberapa mungkin boleh dikongsi bersama agar menjadi manfaat buat yang baru atau lama. “Sampaikanlah walau
satu ayat.”
Sejak sekian lama menjerumus dalam kancah perdebatan, bermula seawal bangku sekolah sehingga hari ini, arena perdebatan
di Malaysia telah melalui banyak transformasi terutama dari segi format pertandingan. Bermula dengan perdebatan bersifat konvensional,
hari ini perdebatan ala-parlimen merupakan satu perubahan yang cukup memberangsangkan ke arah melahirkan bakal-bakal pemimpin
yang boleh berfikir secara kreatif dan kritis serta berhujah secara matang terutama dalam membincangkan isu-isu berkaitan
negara dan dunia. Sekalipun tidak kesampaian sehingga begitu, sekurang-kurangnya pertandingan debat yang diadakan diharapkan
berupaya untuk membariskan pimpinan yang boleh untuk berhujah dengan baik di dalam parlimen kelak tidak seperti hari ini.
Tidak perlu untuk berbicara soal etika, tidak perlu berbincang tentang kaedah kerana semua itu sudah difahami secara
mendalam. Bagi yang masih berjinak, mungkin pemahaman boleh ditingkatkan melalui perbincangan lain. Tetapi artikel ini lebih
menjurus dalam membincangkan berkenaan kualiti perdebatan hari ini kalau sungguh, setelah lebih sepuluh tahun debat ala parlimen
bertapak, adakah debat bahasa Melayu sekarang telah mencapai tahap yang membanggakan.
Tiada kayu ukur lain selain kualiti yang lebih bersifat abstrak. Kalau debat bahasa Inggeris, ukuran pencapaian peringkat
antarabangsa boleh dijadikan sandaran untuk mengukur kekuatan debat bahasa Inggeris di Malaysia. Tetapi bagi debat bahasa
Melayu yang pentasnya hanya di peringkat nasional, faktor kualiti dijadikan elemen terpenting dalam menilai keadaan semasa.
Bercakap soal kualiti, sukar untuk melompat ke dalam perbincangan ini kerana sifatnya yang tiada kuantiti dan tidak
boleh disukat segantang atau sekilo. Kualiti di sini diterjemahkan melalui cara penyampaian, penghujahan dan yang lebih penting
penerimaan persekitaran pada apa yang disampaikan.
Apakah yang dimaksudkan?
Debat sudah mempunyai satu treknya yang tersendiri mengikut format yang telah
ditetapkan. Tetapi perlumbaan boleh berbeza-beza mengikut pembawaan pendebat sendiri. Namun pembawaan yang berkualiti perlulah
bersifat telus dan amanah terutama dalam menganalisa sesuatu kes. Hari ini, kelibat pendebat dilihat hanya menganalisa usul
dengan satu tujuan iaitu untuk menang. Memanglah setiap pertandingan itu bertujuan untuk menang tetapi kemenangan itu perlulah
yang berkualiti. Dan kualiti ini perlu dipertahan demi memastikan perdebatan masa hadapan, hala tujunya bersifat terbuka dan
terjamin. Siapa penentunya lagi kalau bukan kita.
*Penulis merupakan President Debate Club UTP merangkap Ketua Pasukan Debat
Bahasa Melayu, Universiti Teknologi PETRONAS. Kepada yang mempunyai pandangan tersendiri terhadap penulisan beliau, anda boleh
emailkannya kepada kami.